PENYAKIT MENTAL
Penyakit mental adalah istilah umum yang merujuk kepada sekumpulan penyakit-penyakit mental. Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya. Penyakit mental boleh berbeza dari segi tahap keterukannya, jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian. Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan.
Akibat dari salah faham mengenai penyakit mental, pesakit dan keluarga mereka kadang-kadang dicemuh dan disisih dalam masyarakat.
Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan ;
* Penyakit-penyakit psikosis.
* Penyakit-penyakit bukan-psikosis (neurosis)
Penyakit Psikosis
Pada tahap teruk, seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan dengan alam nyata. Kebolehan seseorang memahami pemikiran dan perasaannya serta rangsangan dari luar terganggu di tahap teruk ini. Mereka merasai persekitarannya berbeza dengan orang yang normal. Apa yang mereka lihat, dengar dan rasai sebagai sesuatu yang benar tetapi tidak dialami oleh orang di sekitarnya. Pesakit mungkin bertindak di atas apa yang dialami dan tingkahlakunya mungkin kelihatan “luar biasa”. Orang-orang yang tidak biasa dengan tingkahlaku dan pengalaman mereka mungkin sukar memahami akan kekeliruan dan ketakutan pesakit psikosis dan melihatnya sebagai sesuatu yang menakutkan.
Pada masa dahulu pesakit mental psikosis diasingkan dan dipisahkan dari masyarakat. Tetapi, pada hari ini, dengan adanya rawatan dan ubatan yang berkesan, kebanyakan mereka dapat menjalani kehidupan yang produktif dan bermakna.
Diantara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis manik depresif.
Penyakit-penyakit Bukan Psikosis
Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan kita. Apabila perasaan biasa ini dan tingkahlaku tertentu berlaku secara berlebihan, tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu kehidupan seseorang dalam menjalani aktiviti harian, hubungan dengan orang lain dan keupayaan seseorang untuk menikmati keseronokan hidup, ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis bukan psikosis (neurosis).
Di antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah fobik (ketakutan yang tidak berasas), keresahan (anxiety), kemurungan (depression) dan obsessif kompulsif.
RAWATAN UTAMA PENYAKIT MENTAL
Seperti penyakit fizikal, penyakit mental juga boleh diubati. Apabila seseorang mengalami penyakit mental, mereka perlu menjalani penilaian oleh kakitangan kesihatan. Maklumat terus terang dan tepat dapat membantu kakitangan kesihatan dalam menentukan diagnosa dan merancang jenis rawatan dengan tepat. Sebahagian besar daripada mereka dapat dirawat sebagai pesakit luar tanpa memerlukan kemasukan ke hospital atau institusi mental. Terdapat berbagai jenis rawatan untuk penyakit mental. Rawatan yang diberikan kepada sesesorang bergantung kepada jenis penyakitnya dan keperluan individu.
Rawatan-rawatan Utama Yang Selalu Digunakan
Psikoterapi dan kaunseling
Kaunseling boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam. Rawatan ini diberikan secara pesakit luar. Seseorang itu mungkin memerlukan beberapa sesi kaunseling sebelum mendapat kesan rawatan. Jumlah sesi kaunseling bergantung kepada jenis penyakit dan keperluan individu.
Rawatan psikotropik
Terdapat berbagai jenis ubat-ubatan yang dikelaskan sebagai ubat psikotropik yang digunakan untuk rawatan penyakit mental. Ubat-ubatan antipsikotik boleh mengurangkan atau menghapuskan gejala-gejala psikosis. Sementara ubat-ubatan jenis lain boleh mengurangkan tekanan, kemurungan dan keresahan (anxiety) sehingga pesakit dapat mengendali gejala-gejala penyakitnya dengan lebih baik. Sebahagian ubatan jenis ini mengambil masa yang agak lama sebelum memberi kesan. Bagaimanapun, pengambilan ubat-ubatan jenis ini mestilah mendapat nasihat dari pengamal perubatan yang sah. Sebahagian pesakit mental perlu meneruskan pengambilan ubatan psikotropik untuk jangka masa yang panjang sepertimana rawatan fizikal, contohnya penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Rawatan tingkahlaku
Rawatan jenis ini memberi tumpuan kepada membantu pesakit mengubah cara berfikir atau tingkahlaku yang tertentu yang mengganggu dan menimbulkan gejala penyakit. Terdapat berbagai jenis rawatan tingkahlaku yang boleh digunakan untuk merawat penyakit mental tertentu. Teknik releksasi adalah merupakan satu contoh rawatan jenis ini.
Rawatan elektrokonvulsif
Rawatan elektrokonvulsif diberikan melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah merentasi otak seseorang. Rawatan jenis ini adalah selamat, tidak berbahaya dan biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius. Sebelum rawatan diberikan, seseorang itu akan diberi bius.
Diterbitkan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian
No comments:
Post a Comment