Monday, 30 July 2012

MAKANAN SEGERA

Makanan proses atau lebih mudah dipanggil makanan segera kurang baik untuk kesihatan. Ini kerana ia mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan yang dinikmati sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap diambil, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan.

Tanpa disedari, ia akan mendedahkan seseorang kepada pelbagai penyakit. Antaranya ialah kerosakan gigi, sembelit, obesiti, tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung malah mungkin kanser usus besar.

Apakah makanan proses atau manakan segera ini? Makanan proses atau segera adalah komponen makanan yang boleh dimakan terus tanpa perlu memasaknya terlebih dahulu. la mungkin makanan dalam tin, makanan berasaskan corak pemakanan barat seperti burger dan hot dog, makanan sejuk beku dan sebagainya.

Keperluan kepada makanan segera begini semakin ketara hari ini kerana masyarakat kini lebih cenderung untuk bergerak cepat setiap masa. Bebanan kerja dan ingin melakukan segala-galanya dengan pantas mendorong sebilangan orang menjadikan makanan segera sebagai pilihan. Lagi pun makanan segera begini cukup mudah untuk diperolehi . Kunjungi sahaja mana-mana restoran 'fast food', pesan makanan yang digemari dan tidak sampai lima minit hidangan akan sampai terus ke meja.

Bagi makanan dalam tin atau sejuk beku pula, orang ramai boleh membelinya secara pukal di pasaraya. Jika tiada masa, makanan itu dibuka dan dimakan terus atau dipanaskan sekejap. Dalam masa tidak sampai dua minit, makanan boleh terus dijamah. Berbeza dengan cara biasa yang selalu dilakukan, kita mengambil masa tidak kurang setengah jam untuk mulai menanak nasi, menumbuk sambal dan menggoreng ikan.

Makanan segera banyak aditif
Salah satu sebab mengapa makanan segera kurang baik untuk kesihatan ialah kerana kandungan aditifnya yang berlebihan. Aditif adalah bahan kimia yang dicampurkan ke dalam makanan dan ubat-ubatan bagi tujuan meningkatkan kualiti, menambahkan keenakan dan memantapkan kesegaran. Penggunaan aditif sebenarnya bermula sejak ratusan tahun lalu. Aditif yang bertindak sebagai pewarna telah digunakan untuk memberi warna kuning kepada mentega sejak kurun ke-14 lagi.

Contoh lain aditif ialah bahan-bahan campuran yang diberi nama huruf awal "E", seperti E101 (Riboflavin), E123 (Amaranth), E211 (Natrium Benzoate), E249 (Kalium Nitrit), E322 (Lesitin) dan sebagainya. Selain itu, makanan segera ini lazimnya banyak mengandungi perasa seperti monosodium glutamate (MSG). Pada asalnya, bahan ini diasingkan daripada sejenis rumpai laut. Sekarang MSG boleh diperoleh daripada kanji, gula, jagung, tebu atau lobak bit. Kesan sampingan yang sering dikaitkan dengan MSG adalah pelbagai. Tanda-tanda sindrom ini termasuk panas badan di bahagian tengkuk dan belakang tubuh, serta perasaan tertekan di bahagian dada dan muka. Walaupun demikian, kajian saintifik gagal membuktikan bahawa kesemua gangguan-gangguan ini disebabkan secara langsung oleh MSG. Sebaliknya kajian tersebut mendapati kesan sampingan buruk hanya dialami segelintir pengguna yang alah terhadap MSG. Justeru itu MSG tetap dianggap selamat dan sesuai digunakan sebagai aditif makanan.

Lemak Berlebihan
Selain itu, makanan segera sangat terkenal dengan kandungan lemaknya yang berlebihan. Sebagai contoh, sebiji burger mengandungi sebanyak 35% atau mungkin lebih lemak. Manakala, kentang goreng dikatakan lebih baik dari segi khasiat daripada ban yang diperbuat daripada tepung putih halus tetapi ia direndam dalam lemak, biasanya lemak tepu yang menggalakkan penyakit jantung di antara 11 dan 16g lemak. Bagi keju yang dihiaskan di atas makanan, ia bermakna lebih banyak lemak. Malahan ia bukanlah keju sebenar tetapi cebisan-cebisan keju bercampur garam, gula, pengemuisi, asid laktik, pengawet, pewarna dan bahan penambah lain. Lemak dan garam yang berlebihan pula boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengannya.

Tiada ZatRamai yang tidak menyedari bahawa makanan segera hanya mengandungi hanya sedikit kalori dan tiada zat. la mampu mengenyangkan perut dan memberi bahan bakar untuk digunakan oleh tubuh. Bagi kanak-kanak, pengambilan kalori kosong sebagai makanan snek boleh menyebabkan kurang selera terhadap makanan lain yang mempunyai khasiat yang banyak dan sangat diperlukan oleh badan. Kanak-kanak perlu dielakkan memakan makanan yang manis seperti kek, gula-gula dan air sirap, air berkarbonat kerana ia tidak mengandungi kalori. Makanan begini hanya mengisi ruang perut mereka sahaja dan ini menyebabkan mereka menolak manakan berkhasiat lain.

Untuk menunjukkan kepada anda kandungan sebenar makanan segera, di sini disenaraikan makanan ringan (snek) yang biasa anda pesan di sesebuah restoran:

Burger daging:
Mengandungi 4 gram lemak tulen. la membekalkan protein, zat besi, vitamin B12. Sedikit serat tetapi banyak penambah kimia.

Ayam goreng:
Kaya dengan lemak (hampir 60% kalori diperoleh dari lemak). Banyak garam. la membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Bahan yang menyalutkannya mengandungi MSG dan pewarna kimia.

Kentang goreng:
Ubi kentang membekalkan protein dan vitamin C. Terlalu banyak lemak dan garam. Warna keemasannya adalah tiruan.

Susu kotak;
Susu ini bercampur udara dan air. Proses ini memerlukan bahan pemekat kimia, penstabil dan pengemuisi. la juga mengandungi perisa dan pewarna kimia. Susu membekalkan protein dan kalsium dan lapan sudu teh gula di dalam bekas yang sederhana besarnya.

Minuman berasaskan Kola:
Amat kaya dengan gula (bekas besar mengandungi 14 sudu teh gula. Pewarna kimia dan kafein. Nilai makanannya kosong.

Garam
Secara purata seseorang itu memerlukan tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh sehari. Kebanyakan jumlah ini terdapat di dalam makanan secara semula jadi. Menurut satu kajian oleh Suruhanjaya Makanan London, sebiji burger boleh mengandungi dua hingga tiga gram garam.

Gula
Kebanyakan makanan segera amat manis. Bahan pemanis berkalori rendah aspartam, pernah dilaporkan membawa kesan sampingan mudarat kepada pengguna. Tetapi pemerhatian berterusan pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat selama lebih sepuluh tahun gagal memperoleh bukti kukuh tentang kesan bahaya bahan ini. Demikian juga halnya dengan sesetengah aditif makanan yang dicampurkan ke dalam makanan ringan untuk kanak-kanak dan remaja.

SeratSerat terkandung di dalam buah-.buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang yang memainkan peranan penting di dalam perut. Sesetengah serat melegakan sembelit atau baik dalam penyerapan kolesterol, dengan itu membantu mengurangkan kolesterol di dalam darah. la juga membantu mencegah penyakit jantung dan sesetengah kanser terutamanya usus. Makanan segera begitu banyak diproses dan ia hampir tidak mengandungi serat. Serat tidak terdapat di dalam burger ikan dan ayam. Ban biasanya kurang serat, jika ia berwarna putih dan manis. Hanya ban yang mengandungi kepingan-kepingan salad sahaja yang mengandungi sedikit serat.

Vitamin dan zat galianJangan terpedaya dengan dakwaan tentang vitamin dan zat galian di dalam makanan segera. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori anda makan pada masa yang sama. Terdapat sedikit zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan susu, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun, kandungan semua zat pemakanan ini tidak mencukupi dan terlalu sedikit.

Kesimpulannya, makanan segera bukanlah pilihan makanan yang terbaik kerana kandungannya yang tidak berkhasiat. Sebaliknya, kita semua digalakkan memakan makanan yang segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak lama. Ini lebih menyihatkan dan baik untuk kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang.
Oleh itu pilihlah makanan berdasarkan khasiatnya bukan kerana keenakannya semata-mata kerana makanan yang baik akan menjamin kesihatan dikemudian hari. Pilihan yang bijak banyak manfaatnya.



Ubahsuaian genetik makanan punca penyakit



Keselamatan makanan menjadi se-makin penting terutama bagi makanan yang dipasarkan atau dikomersialkan. Ini kerana terdapat perubahan dalam bidang sains yang lebih menekankan aspek kesihatan, perubahan kepenggunaan dan penyediaan makanan serta meningkatnya kehendak perdagangan antarabangsa dalam penghasilan makanan.
Meningkatnya keperluan dalam perdagangan makanan antarabangsa juga menyebabkan pengusaha perlu meningkatkan lagi tahap keselamatan makanan yang dihasilkan. Untuk itu piawai-piawai yang tertentu dicipta, perlu dipatuhi dan dilaksanakan bagi memastikan produk yang dihasilkan diterima di peringkat antarabangsa.
Walau bagaimanapun perkembangan dan penggunaan teknologi dalam penghasilan makanan hari ini semakin mencabar kedudukan keselamatan makanan yang dimakan, kerana teknologi dalam bidang penghasilan makanan berkembang begitu cepat sekali tanpa belum sempat kajian-kajian selanjutnya dilakukan. Lebih-lebih lagi hasil kajian berkaitan dengan makanan dan kesihatan lazimnya memerlukan suatu jangka masa yang agak panjang untuk menampakkan hasilnya.
Jika kita lihat hampir kesemua produk yang dihasilkan melalui teknologi baru hari ini dikatakan selamat untuk dimakan dan baik untuk kesihatan. Sejauh mana kebenaran ini sebenarnya menjadi persoalan kepada kita semua, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpegang teguh kepada agama.
Sebenarnya makanan yang asli sama ada tumbuhan segar yang dikeluarkan dari perut bumi ataupun haiwan yang memakan tumbuhan yang asli adalah tidak membahayakan kesihatan manusia.
Tetapi yang menjadi masalah hari ini ialah berbagai teknik ke atas makanan menyebabkan makanan itu menjadi tidak selamat lagi dan akhirnya mengganggu kesihatan.
Pengubahsuaian genetik yang dilakukan ke atas makanan sebenarnya telah pun menjadi kontroversi sejak awal tahun 1990-an. Antara kontroversi yang berlaku terhadap makanan termasuklah:
1. Pengklonan haiwan di ladang di Great Britain.
2. Insiden Bovine Spongiform Encepha-lopathy (BSE) atau penyakit lembu gila di Great Britain awal 1990-an.
3. Kehadiran apa yang dipanggil sebagai teknologi terminator seed.
4. Keputusan oleh FDA untuk mengkelaskan makanan yang diradiasi dan makanan ubahsuaian genetik sebagai makanan organik.
5. Berkaitan untuk mempatenkan beras Basmati serta kesan herbisid dan kerintangan serangga kepada alam se-kitar.
6. Kes ketoksikan Bacillus thuringiensis (Bt) iaitu sejenis bakteria daripada tanah yang digunakan pada jagung.
Kerintangan terhadap makanan ubahsuaian genetik yang berlaku di Great Britain timbul kerana adanya penyakit lembu gila. Seterusnya berlaku juga pembahagian Salmonella yang akhirnya menimbulkan keraguan terhadap peraturan keselamatan makanan yang ada pada masa kini.
Kerintangan ini telah diketengahkan dalam kajian yang kontroversi pada 1999 oleh ahli sains dalam bidang makanan iaitu Arpad Pusztai dari Rowett Research Institute di Aberdeen, Scotland. Dalam kajiannya, beliau menyatakan pertumbuhan tikus terbantut apabila tomato ubahsuaian genetik diberikan kepada tikus .
Menurut laporan di dalam berita BBC pada 27 April 2002, kajian telah dilakukan kepada ayam dengan memberinya makan jagung yang telah diubahsuai iaitu T-25 dan jagung yang dihasilkan secara konvensional. Keputusan menunjukkan dua ekor ayam mati apabila diberi makan jagung T-25. Keputusan ini telah pun diperoleh pada tahun 1996 tetapi telah diabaikan sehingga tanaman tersebut berjaya mendapat kelulusan untuk dipasarkan pada tahun tersebut. Jagung ini dihasilkan untuk diberi makan kepada lembu yang diternak.
Manakala kajian lain yang dilakukan terhadap tikus yang diberi makan kentang transgenik yang mengandungi gen Cry1 daripada Bt. variasi kurstaki strain HDI, didapati berlakunya kerosakan pada usus tikus tersebut. Ini kerana ia terpaksa bekerja kuat untuk menghadamkan Bt Cry1. Sebanyak 50 peratus sel pada ileum menjadi hipertropik.
Masalah yang kita hadapi hari ini ialah tiadanya label yang diletakkan bagi sesetengah produk yang diubahsuai.
Seterusnya, kritikan terhadap kejuruteraan genetik semakin membimbangkan dan melibatkan banyak persoalan. Patutkah ahli sains dibenarkan untuk melampaui batas-batas alam semula jadi atau sempadan melalui pengklonan organisma, tumbuhan, haiwan, haiwan ternakan dan kemungkinan juga ke atas manusia?
Patutkah bahan-bahan genetik dipindahkan daripada satu organisma kepada organisma yang lain, kemungkinan manusia, haiwan, tumbuhan, bakteria atau virus. Patutkah manusia mengubah atau menukar serta bersaing dengan alam semula jadi tanpa sebarang sebab?
Kebanyakan pihak pengkritik percaya, dengan menggunakan teknik pengubahsuaian genetik untuk menghasilkan makanan manusia, ia boleh menyebabkan beberapa turutan yang tidak baik. Contohnya seperti keselamatan dan kesihatan, etika, keagamaan, alahan, ketoksikan, kekarsinogenan, dan perubahan terhadap kualiti nutrien dalam makanan termasuk keprihatinan terhadap alam sekitar.
Adakah perlu semua ini diabaikan dalam kita mengejar untuk memperbaiki kualiti makanan, meningkatkan penghasilan makanan dan memperbagaikan penghasilan pertanian dengan menggunakan teknik pengubahsuaian genetik.
Kritikan ini akhirnya akan menyentuh pula beberapa isu lain seperti:
1. Hak-hak pengguna untuk mengetahui apakah yang terkandung di dalam makanan yang mereka beli.
2. Hak bagi setiap negara untuk mengadakan piawaian.
3. Hubungan antarabangsa di antara syarikat-syarikat, ahli-ahli sains, petani dan pembuat dasar kerajaan.
4. Kesan tanaman ubahsuaian genetik ke atas kepelbagaian biologi.
5. Kemungkinan berlaku kesan negatif tanaman ubahsuaian genetik ke atas keselamatan bekalan makanan
6. Kemungkinan tersebarnya kerintangan terhadap antibiotik kepada manusia dan haiwan ternakan.
7. Berlakunya kerintangan serangga kepada toksin tanaman ubahsuaian genetik.
8. Kesan ekologi ke atas pertumbuhan makanan ubahsuaian genetik.
Bagaimanapun adalah sukar untuk menentukan sama ada makanan tersebut dihasilkan secara pengubahsuaian genetik atau dihasilkan secara konvensional. Ini kerana sesetengah juzuk misalnya yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan, ada yang akan melalui proses penulenan seperti sukros dan minyak sayuran.
Dikatakan proses penulenan ini akan memusnahkan atau mengeluarkan bahan genetik dan protein yang terkandung di dalam juzuk makanan tersebut. Di peringkat akhir, apabila bahan makanan telah siap, makanan tersebut tidak lagi terubahsuai dan ia sukar untuk dibezakan dengan makanan yang terhasil secara konvensional.
- Petikan kertas kerja Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Universiti Malaya yang dibentang dalam Muzakarah Pakar: Makanan Ubah Suai Genetik (GM Food) - Satu Perspektif Islam di Institut Kefahaman Islam Malaysia semalam.

biofuel

http://siperigi.blogspot.com/2011/06/biofuel-kelebihan-dan-kekurangan.html

Friday, 2 March 2012

sains fizik dalam bidang perubatan

Fizik perubatan melibatkan penggunaan fizik dan kejuruteraan dalam perubatan dan kesihatan. Ahli fizik perubatan bekerja rapat dengan doktor perubatan dan bertugas di universiti, sekolah perubatan, hospital dan institusi penyelidikan.
Mereka selalunya mengkhusus dalam satu daripada tiga bidang utama:
  1. Pengimejan perubatan (sinar-X, tomografi berkomputer, ultrasound, pengimejan resonans magnetik, perubatan nuklear)
  2. Onkologi radiasi atau radioterapi (rawatan barah dengan berbagai jenis radiasi)
  3. Fizik Kesihatan Perubatan (perlindungan pekerja dan pesakit daripada radiasi – termasuk radiasi mengion, seperti sinar-x, dan radiasi tidak mengion, seperti laser dan gelombang radio)
Latihan Profesional Yang Biasa bagi Fizik Perubatan termasuk:
  • B.Sc. dalam fizik atau kejuruteraan atau bidang berkaitan
  • M.Sc. atau Ph.D. dalam Fizik Perubatan
  • Tiga tahun atau lebih pengalaman klinikal
Tanggungjawab Ahli Fizik Perubatan
Tanggungjawab utama amalan klinikal seorang Ahli Fizik Perubatan adalah memastikan penggunaan radiasi yang optimum bagi memberikan hasil diagnostik atau terapeutik yang diperlukan.
Ahli Fizik Perubatan menjalankan tugas di jabatan rawatan radiasi (radioterapi)
Tanggungjawab ini termasuk:
1.       Perlindungan pesakit dan orang lain daripada radiasi terlampau atau berkemungkinan merbahaya (serta juga menentukan peraturan keselamatan mengendalikan bahan radioaktif)
2.      Menyediakan protokol yang mencukupi bagi memastikan dosimetri pesakit yang tepat (untuk rawatan radioterapi)
3.       Pengukuran dan pencirian radiasi
4.       Spesifikasi pemberian dos
5.       Kemajuan dan hala tuju program jaminan mutu
6.       Bantuan kepada doktor perubatan dalam mengoptimumkan imbangan antara kesan baik dan buruk radiasi
Ahli Fizik Perubatan juga membantu dalam pemilihan peralatan pengimejan dan terapi dari segi kos dan spesifikasi teknikal. Mereka juga terlibat dalam latihan penuntut perubatan, juru x-ray serta pelatih pakar radiologi dalam isu berkaitan fizik dan keselamatan.

Di Malaysia, Ahli Fizik Perubatan mempunyai kelayakan ijazah sarjana ataupun kedoktoran (Ph.D) dalam Fizik Perubatan. Kursus sarjana Fizik Perubatan ditawarkan di beberapa Universiti tempatan. Kandungan kursus mendedahkan para penuntut kepada bidang yang luas termasuk diagnosis dan rawatan di hospital

Pengurangan Subsidi oleh Kerajaan Malaysia: Kewajarannya dan Kesan tindakan ini.

Perbahasan isu subsidi di mana-mana pun panas dan emosional. Tidak kira di negara kaya seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah atau negara miskin seperti Mesir. Di Mesir berlaku rusuhan apabila subsidi roti dikurangkan menyebabkan harga roti melambung tinggi. Di Eropah petani merusuh dengan membinasakan hasil keluaran seperti tomato, susu lembu dan sebagainya.
Kerajaan Malaysia telah mengadakan mekanisme khas dipanggil Makmal Rasionalisasi Subsidi untuk tujuan perbahasan dan mengadakan hari terbuka makmal pada 27 Mei 2010 di Ibu Negara untuk menjelaskan tindakan kerajaan ini.
Rasional Penghapusan Subsidi:
1. Malaysia akan bankrup jika subsidi terlalu besar jumlahnya.
Menteri di Jabatabn Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), mengumukan bahawa kerajaan tidak mampu lagi menampung kadar subsidi seperti yang ada sekarang. Malah negara akan muflis/bankrup dalam masa lima tahun kalau kadar perbelanjaan negara tidak dikurangkan. Beliau juga membandingkan negara kita dengan Greece yang kini mengalami krisis kewangan yang teruk dan hampir muflis.
Salah satu cara menjimatkan perbelanjaan adalah dengan mengurangkan atau menghapuskan langsung subsidi. Subsidi, tak kira subsidi tol, bahan api, elektrik, gula, tepung atau minyak masak dikurangkan atau dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun ini. Matlamatnya adalah untuk kurangkan perbelanjaan sehingga RM103 bilion dalam tempoh lima tahun.
Sebenarnya Malaysia adalah negara yang paling tinggi subsidi di dunia, subsidi berjumlah RM74 bilion tahun lalu memanglah besar. Daripada jumlah itu, subsidi sosial sebanyak RM42.4 bilion, bahan api dan elektrik (RM23.5 bilion), prasarana (RM4.8 bilion) dan makanan (RM3.4 bilion). Purata subsidi itu bersamaan RM12,900 bagi setiap isi rumah.

2. Golongan kaya juga menikmati subsidi dan menyebabkan pembaziran.
Subsidi menyebabkan kemudaratan apabila harga yang murah menyebabkan penggunaan berlebihan, misalnya gula dan minyak masak yang memudaratkan kesihatan. Di Malaysia pengilang dan pelabur mendapat subsidi berbilion-bilion ringgit. Antaranya subsidi diesel (untuk pengangkutan) dan subsidi gas asli cecair (untuk penjanaan elektrik oleh IPP dan kilang pembuatan). Golongan kaya yang pakai kereta mewah seperti Mercedes Benz dan BMW dapat subsidi minyak petrol yang berkali-kali ganda lebih banyak daripada orang biasa yang guna Kancil atau Proton. Mereka akan membazir petrol kerana mereka kaya dan harga petrol rendah. Misalnya mereka membiarkan enjin kereta berjalan sungguhpun sedang menunggu atau memakai kereta untuk membeli sebungkus rokok di kedai.
Kilang yang dapat subsidi sepatutnya menjual barang dengan harga yang lebih murah kepada pengguna. Mungkin ini tidak benar. Harga lebih tinggi dikenakan terhadap pengguna jika penguatkuasaan lemah menyebakan pengawasan harga dan bekalan sangat lemah. Bukan semua subsidi dalam bentuk cross (lintang) di mana pengguna membayar harga yang tinggi sedikit untuk membantu pengeluar, macam subsidi harga padi.

Kebaikan Subsidi
1. Subsidi memajukan ekonomi negara.
Orang yang beli beras bayar harga yang tinggi sedikit dan harga tambahan itu dipindahkan kepada penanam padi sebagai subsidi. Ambil contoh subsidi baja. Petani dapat baja dan pengilang dapat hasil membekalkan baja. Kalau tidak kerana skim subsidi baja, industri baja kita tidaklah sebesar sekarang. Subsidi menjana ekonomi. Seorang pengguna yang terima RM1 ringgit subsidi akan belanja duit itu. Pekedai dapat hasil. Pekedai pasti buat keuntungan kerana barang yang dijual dengar harga RM1 itu diperolehnya dengar harga lebih rendah daripada pembekal. Pembekal beli lebih rendah dari pengilang. Setiap kali duit RM1 itu bertukar tangan, ia menambah kepada nilai ekonomi.
Tegasnya subsidi adalah sebahagian daripada ekonomi. Ia menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi.

Kesan Negatif Penarikan Balik Subsidi:
Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tentu sedar kesan rasionalisasi subsidi ini. Ia mungkin membantu mengurangkan beban hutang negara yang mencecah RM362 bilion (54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi kesannya kepada ekonomi dan rakyat jelata juga besar.

1. Golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah kemiskinan.
Jika subsidi baja dan subsidi harga padi ditarik balik, ratusan ribu petani kita akan hidup dalam kemiskinan tegar dan hasil padi/beras negara merudum. Subsidi adalah sebahagian daripada ekonomi. Ia menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi. Sebaliknya jika subsidi ditarik balik, kos makanan akan meningkat kerana harga gula dan petrol meningkat. Golongan berpendapatan rendah akan menghadapi masalah kewangan.
Potongan subsidi akan jejaskan rakyat
Pengurangan subsidi pasti akan menjejaskan taraf hidup rakyat. Kuasa membeli mereka akan jatuh dan akan diburukkan lagi oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan.Pengilang, penyedia perkhidmatan, pengedar dan pekedai akan menaikkan harga bagi menampung pengurangan atau penghapusan subsidi. Setiap peringkat rangkaian pembekalan (supply chain) akan menaikkan harga. Lebih teruk daripada itu mereka akan mengambil kesempatan membuat keuntungan berlebihan (profiteering). Api infalsi akan menyemarak. Jika di luar kawalan, ekonomi Negara juga akan lumpuh.

Subsidi juga merupakan duit rakyat yang perlu dinikmati rakyat
Sebahagian besar subsidi adalah daripada sumber kewangan yang diamanahkan kepada kerajaan, sama ada hasil cukai atau keuntungan pelaburan. Duit yang digunakan untuk subsidi itu bukan duit kerajaan, tetapi duit pembayar cukai individu dan korporat. Kerajaan sekadar menguruskannya.
Apakah hutang negara yang besar ini kerana subsidi sahaja atau kerana pemborosan, ketirisan dan rasuah? Jika para pemimpin besar terus hidup dengan mewah, boros dan menunjuk-nunjuk, pengiring polis berkereta dan bermotosikal, pengawal peribadi, permaidani merah, kerusi tinggi, perbarisan pegawai dan makanan berlambak, ekonomi Negara juga akan lumpuh.
Kesimpulan:
Langkah mengurangkan subsidi pasti mendapat sokongan dan pujian hebat para “free marketeer”, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Tetapi sokongan mutakhir yang menentukan jatuh atau bangun pemerintah adalah rakyat jelata, khasnya golongan majoriti yang masih miskin, terpinggir dan memerlukan bantuan.