Ubahsuaian genetik makanan punca penyakit
Keselamatan makanan menjadi se-makin penting terutama bagi makanan yang dipasarkan atau dikomersialkan. Ini kerana terdapat perubahan dalam bidang sains yang lebih menekankan aspek kesihatan, perubahan kepenggunaan dan penyediaan makanan serta meningkatnya kehendak perdagangan antarabangsa dalam penghasilan makanan.
Meningkatnya keperluan dalam perdagangan makanan antarabangsa juga menyebabkan pengusaha perlu meningkatkan lagi tahap keselamatan makanan yang dihasilkan. Untuk itu piawai-piawai yang tertentu dicipta, perlu dipatuhi dan dilaksanakan bagi memastikan produk yang dihasilkan diterima di peringkat antarabangsa.
Walau bagaimanapun perkembangan dan penggunaan teknologi dalam penghasilan makanan hari ini semakin mencabar kedudukan keselamatan makanan yang dimakan, kerana teknologi dalam bidang penghasilan makanan berkembang begitu cepat sekali tanpa belum sempat kajian-kajian selanjutnya dilakukan. Lebih-lebih lagi hasil kajian berkaitan dengan makanan dan kesihatan lazimnya memerlukan suatu jangka masa yang agak panjang untuk menampakkan hasilnya.
Jika kita lihat hampir kesemua produk yang dihasilkan melalui teknologi baru hari ini dikatakan selamat untuk dimakan dan baik untuk kesihatan. Sejauh mana kebenaran ini sebenarnya menjadi persoalan kepada kita semua, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpegang teguh kepada agama.
Sebenarnya makanan yang asli sama ada tumbuhan segar yang dikeluarkan dari perut bumi ataupun haiwan yang memakan tumbuhan yang asli adalah tidak membahayakan kesihatan manusia.
Tetapi yang menjadi masalah hari ini ialah berbagai teknik ke atas makanan menyebabkan makanan itu menjadi tidak selamat lagi dan akhirnya mengganggu kesihatan.
Pengubahsuaian genetik yang dilakukan ke atas makanan sebenarnya telah pun menjadi kontroversi sejak awal tahun 1990-an. Antara kontroversi yang berlaku terhadap makanan termasuklah:
1. Pengklonan haiwan di ladang di Great Britain.
2. Insiden Bovine Spongiform Encepha-lopathy (BSE) atau penyakit lembu gila di Great Britain awal 1990-an.
3. Kehadiran apa yang dipanggil sebagai teknologi terminator seed.
4. Keputusan oleh FDA untuk mengkelaskan makanan yang diradiasi dan makanan ubahsuaian genetik sebagai makanan organik.
5. Berkaitan untuk mempatenkan beras Basmati serta kesan herbisid dan kerintangan serangga kepada alam se-kitar.
6. Kes ketoksikan Bacillus thuringiensis (Bt) iaitu sejenis bakteria daripada tanah yang digunakan pada jagung.
Kerintangan terhadap makanan ubahsuaian genetik yang berlaku di Great Britain timbul kerana adanya penyakit lembu gila. Seterusnya berlaku juga pembahagian Salmonella yang akhirnya menimbulkan keraguan terhadap peraturan keselamatan makanan yang ada pada masa kini.
Kerintangan ini telah diketengahkan dalam kajian yang kontroversi pada 1999 oleh ahli sains dalam bidang makanan iaitu Arpad Pusztai dari Rowett Research Institute di Aberdeen, Scotland. Dalam kajiannya, beliau menyatakan pertumbuhan tikus terbantut apabila tomato ubahsuaian genetik diberikan kepada tikus .
Menurut laporan di dalam berita BBC pada 27 April 2002, kajian telah dilakukan kepada ayam dengan memberinya makan jagung yang telah diubahsuai iaitu T-25 dan jagung yang dihasilkan secara konvensional. Keputusan menunjukkan dua ekor ayam mati apabila diberi makan jagung T-25. Keputusan ini telah pun diperoleh pada tahun 1996 tetapi telah diabaikan sehingga tanaman tersebut berjaya mendapat kelulusan untuk dipasarkan pada tahun tersebut. Jagung ini dihasilkan untuk diberi makan kepada lembu yang diternak.
Manakala kajian lain yang dilakukan terhadap tikus yang diberi makan kentang transgenik yang mengandungi gen Cry1 daripada Bt. variasi kurstaki strain HDI, didapati berlakunya kerosakan pada usus tikus tersebut. Ini kerana ia terpaksa bekerja kuat untuk menghadamkan Bt Cry1. Sebanyak 50 peratus sel pada ileum menjadi hipertropik.
Masalah yang kita hadapi hari ini ialah tiadanya label yang diletakkan bagi sesetengah produk yang diubahsuai.
Seterusnya, kritikan terhadap kejuruteraan genetik semakin membimbangkan dan melibatkan banyak persoalan. Patutkah ahli sains dibenarkan untuk melampaui batas-batas alam semula jadi atau sempadan melalui pengklonan organisma, tumbuhan, haiwan, haiwan ternakan dan kemungkinan juga ke atas manusia?
Patutkah bahan-bahan genetik dipindahkan daripada satu organisma kepada organisma yang lain, kemungkinan manusia, haiwan, tumbuhan, bakteria atau virus. Patutkah manusia mengubah atau menukar serta bersaing dengan alam semula jadi tanpa sebarang sebab?
Kebanyakan pihak pengkritik percaya, dengan menggunakan teknik pengubahsuaian genetik untuk menghasilkan makanan manusia, ia boleh menyebabkan beberapa turutan yang tidak baik. Contohnya seperti keselamatan dan kesihatan, etika, keagamaan, alahan, ketoksikan, kekarsinogenan, dan perubahan terhadap kualiti nutrien dalam makanan termasuk keprihatinan terhadap alam sekitar.
Adakah perlu semua ini diabaikan dalam kita mengejar untuk memperbaiki kualiti makanan, meningkatkan penghasilan makanan dan memperbagaikan penghasilan pertanian dengan menggunakan teknik pengubahsuaian genetik.
Kritikan ini akhirnya akan menyentuh pula beberapa isu lain seperti:
1. Hak-hak pengguna untuk mengetahui apakah yang terkandung di dalam makanan yang mereka beli.
2. Hak bagi setiap negara untuk mengadakan piawaian.
3. Hubungan antarabangsa di antara syarikat-syarikat, ahli-ahli sains, petani dan pembuat dasar kerajaan.
4. Kesan tanaman ubahsuaian genetik ke atas kepelbagaian biologi.
5. Kemungkinan berlaku kesan negatif tanaman ubahsuaian genetik ke atas keselamatan bekalan makanan
6. Kemungkinan tersebarnya kerintangan terhadap antibiotik kepada manusia dan haiwan ternakan.
7. Berlakunya kerintangan serangga kepada toksin tanaman ubahsuaian genetik.
8. Kesan ekologi ke atas pertumbuhan makanan ubahsuaian genetik.
Bagaimanapun adalah sukar untuk menentukan sama ada makanan tersebut dihasilkan secara pengubahsuaian genetik atau dihasilkan secara konvensional. Ini kerana sesetengah juzuk misalnya yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan, ada yang akan melalui proses penulenan seperti sukros dan minyak sayuran.
Dikatakan proses penulenan ini akan memusnahkan atau mengeluarkan bahan genetik dan protein yang terkandung di dalam juzuk makanan tersebut. Di peringkat akhir, apabila bahan makanan telah siap, makanan tersebut tidak lagi terubahsuai dan ia sukar untuk dibezakan dengan makanan yang terhasil secara konvensional.
- Petikan kertas kerja Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Universiti Malaya yang dibentang dalam Muzakarah Pakar: Makanan Ubah Suai Genetik (GM Food) - Satu Perspektif Islam di Institut Kefahaman Islam Malaysia semalam.
No comments:
Post a Comment