Malaysia ceburi nanoteknologi
MALAYSIA telah mula menceburi bidang nanoteknologi dengan mewujudkan Inisiatif Nanoteknologi Nasional (INN) iaitu program kerajaan berkaitan bidang tersebut yang telah ditubuhkan dan dilancarkan pada 19 September 2006 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Pusat INN di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi ditubuhkan bagi menyelaraskan usaha dan aktiviti pelbagai agensi dalam pembangunan dan penyelidikan nanosains dan nanoteknologi.
Menurut Pengarah Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Burhanuddin Yeop Majlis, nanoteknologi akan menjadi satu fenomena dalam tempoh 20 tahun akan datang kerana manusia semakin sedar faedah tentang kegunaannya.
Beliau berkata, nanoteknologi mula disebut di negara ini sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) tetapi mulai serius tahun 2006.
Namun pada tahun ini, Direktorat Nanoteknologi ditubuhkan di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Burhanuddin berkata, sebelum itu Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Nanoteknologi yang dipengerusikan oleh Prof. Dr . Halimaton Hamdan untuk menggalakkan aktiviti nanoteknologi di negara ini.
Selain itu, pada 2007 Persatuan Nanoteknologi Malaysia ditubuhkan yang mana beliau merupakan presidennya bertujuan untuk mengumpulkan dan membangkitkan kesedaran tentang kepentingan nanoteknologi pada abad ke-21 di Malaysia.
''Saya juga pernah mencadangkan penubuhan Pusat Nanoteknologi Nasional (NANO) terdiri daripada beberapa pusat kecemerlangan nanoteknologi sedia ada di negara ini.
''Pusat Nanoteknologi dicadangkan untuk menyelaraskan penyelidikan berkaitan nanoteknologi di Malaysia melibatkan pusat-pusat seperti IMEN, UKM selain yang ada di universiti-universiti lain,'' katanya.
Beliau menambah, penyelidikan nanoteknologi secara keseluruhannya adalah agak mahal.
Oleh itu tumpuan harus diutamakan terhadap bidang yang mempunyai keperluan tempatan seperti penghasilan produk bidang bioperubatan , nanomaterial dan sistem penghantaran ubat-ubatan .
Dalam pada itu beliau menambah, antara tujuan penubuhan IMEN yang diterajuinya ialah sebagai untuk menumpukan penyelidikan dalam MEMS dan NEMSmicro/nano electromechanical system) dan nanoelektronik, termasuk nanofotonik, elektronik organan dan cetakan, sistem mikro dan nanoelektronik serta nano bahan dan pakej semikonduktor.
IMEN menjadi pusat rujukan nasional dalam bidang-bidang berkenaan.
Pada masa sama, IMEN mempunyai kemudahan penyelidikan yang mencukupi serta tenaga penyelidik (profesor) untuk tujuan tersebut-LAUPA JUNUS.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0920&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_02.htm#ixzz2XwI9mE4b
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment